ORANG awam bertindak menyerbu rumah salah seorang remaja yang disyaki terlibat dalam kes buli gara-gara terlalu geram dengan kejadian berkenaan.Berdasarkan rakaman tular, ratusan penduduk berkumpul di sebuah kawasan perumahan di Malang, Jawa Timur, Indonesia sebelum merosakkan rumah yang didiami remaja itu. Dalam kejadian pada Jumaat itu, dua buah kereta turut dibakar, termasuk sebuah kenderaan milik polis yang berada di hadapan rumah remaja tersebut.Serangan itu berlaku selepas empat pelajar perempuan sekolah menengah ditahan atas dakwaan membuli Silva Nur Intania Putri, 17, sehingga menyebabkan kematian.Ketua Polis Daerah Jawa Timur, Irjen Pol Dekananto Eko Purwono berkata, pihaknya meminta masyarakat tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan sepenuhnya proses undang-undang kepada pihak berkuasa."Saya meminta masyarakat supaya tidak melakukan provokasi. Proses undang-undang akan dilaksanakan secara tegas dan adil," katanya selepas menziarahi keluarga mangsa di Kota Malang pada Sabtu.Menurut Eko, keempat-empat suspek remaja yang berusia antara 16 hingga 17 tahun itu juga ditempatkan di Lembaga Pemasyarakatan Perempuan Malang buat sementara waktu.ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut IPG dakwa jadi mangsa buli emosi... Tak sangka rakan sekelas benci pelajar pandai, anggap ‘dosa’ dapat Anugerah Dekan!Tambahnya, polis juga sedang menyiasat kejadian merosakkan harta benda itu mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.Setakat ini, polis mengambil keterangan daripada kira-kira 38 individu, selain menyiasat beberapa akaun media sosial yang dipercayai menyebarkan hasutan supaya penduduk melakukan perbuatan berkenaan.Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar berusia 17 tahun maut selepas dipercayai diserang sekumpulan remaja pada Rabu.Silva dan sekumpulan remaja dikatakan bertengkar sebelum dia dipukul pada bahagian kepala dan ditendang sehingga jatuh tersungkur.Serangan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum dia disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke sebuah hospital.Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertikaian peribadi termasuk dakwaan berebut teman lelaki, namun polis masih menyiasat motif sebenar kejadian. -Agensi